2023-03-26 11:53:45
Waktu hampir berbuka puasa waktu mustajab doa. Banyakkan doa waktu itu.
Doa Nabi Musa 'alaihissalam ini dikongsi bersama kerana doa ini amat menyentuh perasaan. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka diyakini ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya:
فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَآ أَنزَلۡتَ إِلَيَّ مِنۡ خَيۡرٖ فَقِيرٞ
Maksudnya: “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan.” (Surah al-Qasas 24).
Saya terjemahkan ungkapan Nabi Musa a.s. di atas secara literal dalam perkataan yang asal iaitu ‘fakir’. Banyak terjemahan al-Quran hanya berdasarkan tafsiran penterjemah, lalu ayat-ayat diterjemahkan bukan berdasar ungkapan asal, tetapi maksud yang difahami oleh penterjemah berkenaan. Dalam banyak keadaan, cara ini telah menafikan kepelbagaian maksud ayat-ayat al-Quran dan menghilangkan keindahannya dalam bahasa arab yang cantik.
Dalam ayat di atas, Nabi Musa a.s merintih betapa dirinya fakir kepada apa sahaja kurniaan Tuhan. Jadi, maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah, Allah riwayatkan ucapan Musa a.s itu dengan berbunyi “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”.
Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Nabi Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkannya semula ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Perkongsian asal Dr. MAZA
@kitabdoa
1.2K viewsHamba ALLAH, 08:53