Get Mystery Box with random crypto!

JIWA TARBAWI 804 Bila iman masuk ke dalam hati, mata hati ak | Jiwa Tarbawi

JIWA TARBAWI 804


Bila iman masuk ke dalam hati, mata hati akan diterangi oleh cahaya petunjuk hidayah.

Firman Allah ‘Azza wa Jalla,

وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ‎﴿التغابن: ١١﴾‏

dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

At Taghabun: 11

Mata hati akan terus terang bila disuluh dengan cahaya ilmu.


قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ ‎﴿١٥﴾‏ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ‎﴿١٦﴾‏ ‎﴿المائدة: ١٥-١٦﴾‏

Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (15) Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (16)

Al Maidah: 15-16

Kesannya, mata hati jadi celik untuk melihat jalan kebenaran, sukakan kebaikan, mencintai ilmu juga dapat membezakan antara haq dan batil.

Imam Al Ghazali menyebut kesan sentuhan ilmu kepada mata hati,

ويزيد في بصيرتك بعيوب نفسك،

ilmu menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu

ويفتح بصيرتك بآفات أعمالك حتى تحترز منها،

ilmu membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya

Ini bererti, hanya yang celik mata hatilah akan dapat mengenal keaiban diri sendiri seperti sifat- sifat mazmumah dan penyakit-penyakit hati. Juga dapat melihat kerosakan amalan seperti kejahilan, riya’ dan ‘ujub yang merosakkan keikhlasan amal.

Namun, tidak ramai yang peduli tentang mata hatinya. Ramai yang lebih melayan keinginan dan kesukaan mata kepalanya sahaja. Maka tidak hairanlah, mata hatinya buta walaupun mata kepalanya celik.

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَـٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ ‎﴿الحج: ٤٦﴾‏

kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (46)

Al Hajj : 46

Oleh itulah, ramai yang lebih nampak keaiban dan keburukan orang lain daripada melihat apa yang ada dalam dirinya.

Justeru, beruntunglah mereka yang celik mata hatinya, lalu bersibuk dengan dirinya dan akan bersungguh berusaha untuk sering bermuhasabah dan mengislah dirinya sendiri.

طوبى لمن شغله عيبه عن عيوب الناس ( أخرجه الديلمي )

"Beruntunglah bagi siapa yang keburukan aibnya menyibukkannya daripada keburukan aib manusia "

HR Dailami

عن شداد بن أوس قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت والعاجز من أتبع نفسه هواها وتمنى على الله

Dari Syaddad bin Aus berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Orang yang cerdas adalah orang yang menghitung-hitung dirinya dan beramal untuk setelah kematian, sebaliknya orang yang lemah adalah orang yang mengikuti jiwanya dengan hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah."

HR Ahmad, 16501




ABi