Get Mystery Box with random crypto!

Ikhlas Berkorban Sempena kedatangan Hari Raya Eidul Adha, an | Kapsul Tazkirah

Ikhlas Berkorban

Sempena kedatangan Hari Raya Eidul Adha, antara ibadat yang amat disukai Allah ialah melaksanakan ibadat korban. Sabda Rasulullah SAW;

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Ibadat korban merupakan syiar yang amat dituntut dengan kedatangan Hari Raya Edul Adha. Adakah kita telah memastikan bahawa kita akan melaksanakan ibadat korban pada tahun ini? Rasulullah SAW mengingatkan kita:

كَنَا وُقُوفًا مَعَ النبى (ص) فَسْمَعَتْهُ  يَقُولُ : يَاأيُهَا النَّاس , عَلَى كُلِ أَهْلِ بَيْتٍ فِى كُلُّ عَامٍ أَضْحِيَة

”Kami wukuf bersama Rasulullah dan aku mendengar Baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, ke atas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap tahun” Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmizi.

Berdasarkan hadis ini, Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan.

Pelaksanaan ibadat korban sama ada disembelih oleh kita sendiri mahupun yang kita wakilkan untuk dilaksanakan ditempat lain seperti di luar negara, hendaklah dilakukan dengan seikhlas mungkin.

Kita melaksanakan ibadah korban atas dasar taqwa kepada Allah bukan sekadar acara tradisi ataupun menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Firman Allah SWT:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٣٧

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (al-Haj ayat 37).

Dalam Tafsir Al-Wajiz, Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili menjelaskan: Bukan hanya sembelihan binatang korban, daging serta darahnya sedikit pun tidak akan sampai kepada Allah, termasuk semua amal soleh yang lain melainkan ia dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah dan dilakukan atas iman.

Dalam ayat ini terdapat dorongan untuk berbuat ikhlas, baik dalam ibadah kurban mahupun dalam ibadah lainnya, bukan untuk berbangga, riyak atau kerana kebiasaan.

Semua ibadah yang tidak disertai keikhlasan seperti jasad tanpa ruh.

Sabda Rasulullah SAW.:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَلَا إِلَى أَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada bentuk (rupa) dan harta kalian, tetapi melihat kepada hati dan amal perbuatan kalian.

Marilah kita memastikan semua amal kebaikan yang kita lakukan seperti ibadat korban, semata-mata mencari keredhaan Allah dan dilakukan dengan ikhlas.

Fudhail bin Iyadh pernah berpesan: meninggalkan amalan kerana manusia maka itu riyak namanya, sedangkan beramal dengan tujuan agar dipuji manusia, maka itu masuk kategori syirik. Adapun ikhlas kepada Allah itulah yang menyelamatkan kamu dari keduanya.

https://t.me/kapsul_tazkirah