Get Mystery Box with random crypto!

Pekerja Kesuma Bangsa Dalam kita melaksanakan sesuatu pekerja | Kapsul Tazkirah

Pekerja Kesuma Bangsa

Dalam kita melaksanakan sesuatu pekerjaan, kita perlu melakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh serta dilaksanakan dengan cara yang paling baik dan sempurna. Sama ada dalam bentuk perkhidmatan mahupun menghasilkan sesuatu produk atau barangan. 

Islam menekankan kualiti dalam setiap perkara. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَيَقْبَلُ إِلاَّطَيِّبَا

“Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih) dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik (suci bersih – berkualiti) juga”  Riwayat Muslim

Sesuatu yang dilakukan akan diterima sebagai ibadah apabila ianya memenuhi syarat baik (suci bersih dan berkualiti), termasuk dilakukan dengan ikhlas (syarat diterima amal), bersungguh-sungguh dan sempurna.

Al-Quran menegur kualiti barang atau perkhidmatan yang berkualiti rendah. Diriwayatkan oleh Imam Hakim: Kisah sahabat yang sering membawa buah kurma daripada dusun ke masjid untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Pada suatu hari salah seorang membawa buah kurma yang kualitinya rendah sedangkan dia mampu memberikan yang lebih baik. Lalu turun ayat surah al-Baqarah: 267

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَلا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)

“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji”.

Berdasarkan ayat al-Quran dan kisah di atas;

1. Allah mengarahkan orang beriman untuk menghasilkan atau menyumbang sesuatu di dunia sebagai bekalan di akhirat.

2. Dalam menghasilkan atau menyumbang sesuatu, seperti harta, barangan, perkhidmatan, pengurusan, pengajaran, dan lain-lain, maka perlu dipersembahkan yang terbaik.

3. Kita juga tidak ingin menerima sesuatu yang buruk atau tidak berkualiti.
Menyumbanglah sesuatu yang paling baik daripada kita.

Sebagai pekerja, sumbangkanlah perkhidmatan kita yang terbaik kepada organisasi dan klien agar ia menjadi fixed deposit untuk kita di akhirat nanti. Jangan hanya melakukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sempena Sambutan Hari Pekerja, marilah kita renungi hadis Rasulullah SAW:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan  al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Pekerja Kesuma Bangsa

SELAMAT HARI PEKERJA

https://t.me/kapsul_tazkirah