Get Mystery Box with random crypto!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم Ya Allah ! Ya Tuhan kami | Himpunan DOA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Ya Allah ! Ya Tuhan kami, Pada hari ini, kami menadah tangan memohon restu perkenan daripada Mu,
jadikanlah hari ini hari kebaikan bagi kami, hari kesinambungan untuk kami mengejar dan memperjuangkan cita-cita murni kami


Sesungguhnya Ya Allah!, jadikanlah hari ini hari bagi kami mengoraklangkah, berhijrah dari sudut yang baik kepada yang lebih baik, dari insan yang lemah kepada insan yang kamil dan dari tingkah laku yang kurang baik kepada yang baik dan daripada tingkah laku yang baik kepada yang lebih baik.”
“Ya Allah! Engkau jadikanlah segala tugas yang telah dan yang akankami laksanakan sebagai suatu ibadah kepada Mu jua.Kami bersyukur ke hadrat Mu Ya Allah!, kerana diberi masa untuk terus hidup, menerokai alam yang penuh dengan khazanah yang engkau ciptakan untuk kami memikir dan mengambil ikhtibar di atas KeagunganMu. Jadikanlah penghidupan kami ini sebagai suatu penghidupan yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada Mu Ya Allah.


Ya Allah ! Ya Rohman! Ya Rohim! Engkau satukanlah hati-hati kami, agar kami dapat bekerja dengan jiwa yang bersatu-padu, hormat menghormati serta percaya mempercayai, berikanlah kami kekuatan tenaga dan akal fikiran juga kesabaran dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan, pimpinkanlah kami agar kami tahu mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami, juga pimpinkanlah kami ke atas melakukan perbuatan-perbuatan baik dan usaha-usaha yang murni yang Engkau redai serta masukkanlah kami kedalam lingkungan hamba-hambaMu yang solihin iaitu dengan rahmatMujua Ya Allah

Ya Allah Ya Robbul Alamin ! Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan dan kerosakan diri kami sendiri, selamatkanlah kami daripada sifat-sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh. Lindungilah kami daripada kesesatan hati , kelalaian, kepapaan, kehinaan, kemalasan, beban hutang, kemiskinan dan segala sifat-sifat yang tidak Engkau redai seperti sifat lara yang sia-sia dan membuang masa.

Ya Allah!, Engkau perbaikilah kami di atas urusan agama kami yang menjadi sandaran segala urusan kami, engkau perbaikilah dunia kami yang menjadi tempat penghidupan kami, perbaikilah akhirat kami dimana kami akan dikembalikan. Ya Allah!, jadikanlah kehidupan kami sebagai tambatan setiap kebaikan untuk kami.

Allahumma Aamiin...._
@kitabdoa